Sunday, 9 October 2016

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI FITNAH



Isu fitnah kian menular dalam kalangan masyarakat dan perlu diatasi segera memandangkan impaknya terhadap individu, masyarakat dan negara amat besar sehingga mampu meruntuhkan sesebuah institusi sama ada institusi kekeluargaan mahupun institusi kerajaan. Oleh yang demikian, langkah-langkah bijak harus diambil walaupun untuk menghapuskan masalah fitnah itu amat sukar, sekurang-kurangnya, masalah tersebut dapat dikurangkan.

Antara langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah fitnah adalah mewujudkan sebuah badan khas yang menyelenggara atau menapis segala paparan di laman sesawang. Hal ini kerana laman sesawang telah menjadi medium utama pada masa kini untuk menyebarkan fitnah kerana sifatnya yang terbuka dan bebas berbanding media cetak. Apatah lagi konsep kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang diamalkan tanpa sekatan dalam internet itu sendiri membolehkan sesiapa sahaja menghantar atau menyiarkan sebarang maklumat sama ada benar atau tidak. Seandainya sebuah badan penapis atau pemantau diwujudkan, cerita-cerita yang tidak sepatutnya dapat dihalang untuk disiarkan, seterusnya mampu mengurangkan masalah fitnah.

Langkah kedua yang boleh diambil untuk mengatasi isu fitnah adalah dengan menguatkuasakan undang-undang yang lebih berkesan. Undang-undang tersebut bukan sekadar menyediakan hukuman berat kepada pesalah fitnah yang telah dibuktikan malahan mampu menakutkan semua, agar tidak sewenang-wenangnya berkata, menulis atau menyiarkan sesuatu yang tidak benar, memandangkan kesan daripadanya amat besar bak kata pepatah, ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’.

Memberi pendedahan yang meluas kepada masyarakat akan etika penulisan yang sebenar juga adalah salah satu cara untuk mengatasi masalah fitnah. Jika dilihat, masyarakat kini lebih cenderung untuk sekadar menulis apa yang terlintas di fikiran tanpa memikirkan implikasi yang timbul akibat penulisan tersebut. Hal ini terjadi kerana mereka tidak tahu dan tidak peka terhadap etika penulisan atau undang-undang berkenaan penulisan itu sendiri. Dalam hal ini, media massa dan elektronik akan memainkan peranan yang cukup besar dalam menyebarkan prosedur sebenar penulisan yang tidak melanggar syarat-syarat menulis bukan sahaja berkaitan isu sensitif seperti berkenaan agama dan politik malahan penggunaan bahasa yang sesuai dalam penulisan.

Seterusnya, isu fitnah dapat diatasi dengan mewajibkan atau melakukan penegasan agar semua data-data, fail atau laman-laman sesawang didaftarkan sebelum boleh dilayari. Hal ini bagi memudahkan sebarang maklumat tidak sah atau tidak benar dikesan seterusnya membolehkan seseorang lebih berhati-hati dan meneliti terlebih dahulu tulisan mereka kerana dikhuatiri, jika penulisan tersebut mengandungi unsur fitnah, mereka akan dikenakan tindakan sewajarnya bak bidalan lama, ‘cakap siang pandang-pandang, cakap malam, dengar-dengar.’

No comments:

Post a Comment