Fitnah
bukan sahaja merupakan perbuatan yang terkutuk dan dilaknat oleh Allah S.W.T
bahkan juga membawa kesan buruk kepada individu mahupun masyarakat.
Antara
kesan fitnah ialah menimbulkan keburukan dan mengaibkan seseorang. Nama baik
dan air muka seseorang individu boleh tercemar atau tercalar apabila wujud
fitnah yang dilemparkan terhadapnya yang mana boleh mengaibkan dirinya.
Hal
ini lantas boleh menyebabkan wujud rasa kebencian dan permusuhan terhadap
mangsa fitnah tersebut. Dengan ini, individu itu bukan sahaja akan berdepan
dengan cercaan dan pandangan serong terhadapnya malah reputasi dan
kredibilitinya juga akan dipertikai. Antara impaknya ialah tercetusnya masalah
rumah tangga sehingga mengakibatkan perceraian akibat cerita buruk melalui
fitnah yang disebar. Selain itu, fitnah juga boleh menjejaskan periuk nasi
mangsa dan pekerjaan atau sumber rezeki individu berkenaan.
Fitnah
secara tidak langsung juga boleh menyebabkan sesorang mangsa mengalami tekanan
emosi dan masalah psikologi apabila timbul stigma, pandangan negatif dan
prejudis terhadapnya.
Tanpa
iman dan semangat yang kuat dan kental, seseorang itu akan dicengkam dengan
rasa sedih dan murung yang melampau hingga melarikan atau menyepikan diri dari
masyarakat. Dalam keadaan yang lebih teruk, mangsa mungkin mengalami
agorafobia, iaitu sejenis masalah apabila penghidapnya mengalami rasa takut
untuk berada di tempat awam atau tempat terbuka.
Bukan
itu sahaja, fitnah ialah satu perkara yang boleh merosakkan persaudaraan dan
perpaduan. Kesan daripada perbuatan itu bukan hanya merugikan seorang dua,
malah menyebabkan permusuhan, pertelagahan serta hilangnya perasaan kasih
sayang, hormat dan kepercayaan dalam kalangan masyarakat. Apabila ukhuwah serta
semangat persaudaraan luntur maka lenyap dan runtuhlah kebahagiaan dan
kemanisan hidup bermasyarakat.
Selain
itu, fitnah mampu mengancam keselamatan negara apabila nama negara terjejas.
Anasir fitnah yang berleluasa mampu menyebabkan keseimbangan negara dan
keselamatan negara tergugat lantas mencetuskan pergolakan.
Apabila
salah faham akibat fitnah timbul seperti timbulnya provokasi sentimen perkauman
dan keagamaan, suasana yang genting boleh mencetuskan peperangan dan
pertumpahan darah.
Di
samping kesan buruk fitnah terhadap institusi sosial, fitnah juga boleh
menjatuhkan ekonomi negara. Kesannya ialah mewujudkan sentimen anti sesebuah
negara serta membentuk persepsi palsu dan negatif. Hal ini mampu memberikan
impak kepada sektor ekonomi sesuatu negara.
Keburukan
dan persepsi negatif ini boleh menakutkan pelabur dan peniaga asing untuk
melabur di sesebuah ngara itu akibat. Selain itu, fitnah juga akan menempias
industri pelancongan sesuatu negara. Bukan itu sahaja, hal ini malah boleh
membawa kepada pemboikotan produk atau barangan dari sesebuah negara itu.
Akibatnya, ekonomi negara akan menjadi lumpuh.
Fitnah
merupakan perbuatan yang dipandang hina oleh mana-mana agama kerana impak
buruknya. Justeru, langkah untuk menangani atau membendung masalah ini perlu
dipandang serius dan dilaksanakan.
No comments:
Post a Comment